MUMBAI, 10 Mac- India membenarkan semula eksport beras pecah 100 peratus, menurut kenyataan kerajaan pada Jumaat.
Keputusan itu dikongsi selepas stok simpanan mencapai rekod tertinggi pada awal Februari, hampir sembilan kali ganda sasaran kerajaan.
Langkah berkenaan dijangka membantu mengurangkan lebihan stok di negara pengeksport beras terbesar dunia itu dan memberi peluang kepada negara-negara miskin di Afrika untuk mendapatkan bekalan beras pada harga lebih rendah.
Ia juga bakal menyokong pengeluar makanan haiwan dan etanol di Asia yang bergantung kepada gred beras tersebut.
India sebelum ini melarang eksport beras pecah 100 peratus pada September 2022 dan mengenakan sekatan ke atas semua gred beras lain pada 2023 susulan kebimbangan terhadap pengeluaran akibat hujan yang tidak mencukupi.
Bagaimanapun, selepas hasil tuaian mencatat rekod baharu dan bekalan kembali stabil, New Delhi menarik balik sekatan eksport bagi semua gred kecuali beras pecah 100 peratus.
“Dengan kebenaran eksport ini, kami menjangka dapat mengeksport sekitar 2 juta tan beras pecah 100% pada 2025,” kata Presiden Persatuan Pengeksport Beras (REA), B.V. Krishna Rao.
Pada 2022, India telah mengeksport 3.9 juta tan metrik beras pecah, terutamanya ke China untuk makanan haiwan serta ke negara Afrika seperti Senegal dan Djibouti untuk kegunaan manusia.
Beras pecah adalah hasil sampingan proses pengisaran dan negara-negara Afrika lebih memilih gred ini kerana ia lebih murah berbanding gred lain.
Jelas Pengarah Eksekutif Satyam Balajee, Himanshu Agrawal, buat masa ini, beras pecah India ditawarkan pada harga AS$330 (RM1,500) setiap tan metrik, berbanding kira-kira AS$300 (RM1,370) daripada pembekal saingan seperti Vietnam, Myanmar dan Pakistan.
“Namun, stok negara pesaing ini terhad. Apabila stok mereka menyusut, pembeli akan beralih ke India dan eksport akan meningkat dalam beberapa bulan akan datang.”
Data daripada Perbadanan Makanan India (FCI) menunjukkan simpanan beras negara, termasuk padi belum dikisar, mencecah 67.6 juta tan pada 1 Februari, berbanding sasaran kerajaan sebanyak 7.6 juta tan.- REUTERS