fb fb fb fb fb

Ratusan maut kebuluran di Gaza, desak gencatan senjata segera - PBB

Foto AFP

GAZA, 27 Ogos – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 303 penduduk Gaza, termasuk 117 kanak-kanak, maut akibat kebuluran setakat ini, dengan tiga kematian baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata lebih 36,000 orang dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing dalam beberapa hari kebelakangan ini, kebanyakannya dari Gaza menuju ke Deir al-Balah dan Khan Younis.

Beliau turut memberi amaran hospital kini berdepan kekurangan bekalan darah kritikal, manakala misi kemanusiaan sering dihalang pihak berkuasa Israel.

PBB mendesak gencatan senjata segera serta akses bantuan tanpa halangan ke seluruh Gaza.

Serangan udara Israel pada Isnin di Hospital Nasser, Khan Younis, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang termasuk wartawan antarabangsa.

Sepanjang tempoh Isnin hingga Selasa, 34 lagi dilaporkan maut, termasuk 18 di sekitar Gaza City.

Sementara itu, ribuan rakyat Israel mengadakan protes di Tel Aviv menuntut pembebasan tebusan serta penamatan perang yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 62,000 penduduk Palestin terbunuh sejak operasi ketenteraan Israel dilancarkan, majoritinya orang awam. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN