NEW ORLEANS, 27 Ogos – Genap 20 tahun selepas Taufan Katrina melanda, sistem pendidikan New Orleans kini dilihat sebagai antara transformasi paling besar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
Bencana pada 2005 itu memusnahkan hampir 80 peratus bangunan sekolah, sekali gus menghapuskan sistem sedia ada.
Susulan itu, kerajaan negeri Louisiana membubarkan struktur tradisional dan membina semula daripada asas, menjadikan New Orleans daerah pertama di negara itu yang sepenuhnya berasaskan sekolah piagam.
Negeri berkenaan turut menerima peruntukan penyelesaian berjumlah AS$1.8 bilion daripada kerajaan persekutuan melalui FEMA untuk membina dan merombak sekolah.
Kini, selepas dua dekad, sebahagian bekas pelajar yang terkesan akibat Katrina kembali sebagai pendidik, antaranya Johnnie Van Buren di Abramson Sci Academy dan Shauntrell DeMesme di McDonogh 35 College Preparatory High School.
Kedua-duanya pernah kehilangan sekolah, rumah dan kenangan, namun kembali menabur bakti di institusi lama yang telah dibangunkan semula.
Perubahan itu juga membawa hasil positif apabila kadar graduasi meningkat daripada sekitar 50 peratus pada 2005 kepada 85 peratus hari ini, selain tiada lagi sekolah yang dikategorikan gagal berbanding 68 peratus ketika pasca Katrina, menurut bekas penguasa Recovery School District, Patrick Dobard. -REUTERS