(Liz Truss, selepas diumum sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu / REUTERS)
LONDON, 6 September- Perdana Menteri Britain, Boris Johnson secara rasmi menyerahkan peletakan jawatannya kepada Ratu Elizabeth II pada Selasa, sekali gus menyerahkan kuasa kepada Liz Truss selepas tempoh pentingnya yang didominasi oleh Brexit dan Covid dipendekkan akibat terpalit skandal.
Johnson, yang terpaksa berhenti selepas kehilangan sokongan berpuluh-puluh menterinya, mengucapkan selamat tinggal dari Downing Street sebelum berlepas ke timur laut Scotland untuk mengadap ratu berusia 96 tahun itu.
Kebiasaannya, penyerahan kuasa adalah urusan yang pantas, dengan pemimpin yang keluar dan yang akan datang membuat perjalanan singkat ke Istana Buckingham di tengah London.
Tetapi tidak kali ini apabila kedua-duanya baik Johnson mahupun Truss terpaksa menghadapi perjalanan pergi dan balik sejauh 1,000 batu (1,600 kilometer) ke Tanah Tinggi Scotland.
Ratu Elizabeth tidak pulang dari cuti musim panas tahunannya selepas mengalami masalah kesihatan berterusan yang menjejaskan keupayaannya untuk berjalan dan berdiri.
Johnson dijangka tiba pada 11:20 pagi di Balmoral, dengan Truss dijangka pada 12:10 tengah hari, kata pegawai diraja.
Majlis itu, yang sepatutnya berlangsung kira-kira 30 minit, Ratu Elizabeth menurunkan perintah kepada Truss, sebagai ketua parti terbesar di parlimen, untuk membentuk kerajaan.
Truss, 47, diumumkan sebagai pemenang undi dalaman ahli parti Konservatif pada hari Isnin, selepas pemilihan bermula sejak Julai lalu.
Semua mata akan tertumpu pada kepulangannya ke ibu negara Britain dan pidato pertama sebagai perdana menteri, yang dijangka berlangsung di luar 10 Downing Street pada petang Selasa, jika cuaca mengizinkan.
Hujan lebat dan ribut diramalkan, mencerminkan keadaan ekonomi suram yang beliau dan menteri kanan baharunya perlu tangani dari hari pertama.
Pelantikan itu akan dimuktamadkan sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet pertamanya dan berdepan soalan di parlimen pada Rabu.
Setiausaha perniagaan Kwasi Kwarteng dijangka menjadi menteri kewangan, dengan peguam negara Suella Braverman memegang portfolio setiausaha dalam negeri, dan James Cleverly ke hal ehwal luar negeri.
Jika disahkan, ia bermakna ini adalah kali pertama tiada orang kulit putih dalam mana-mana empat jawatan menteri utama di Britain.
Truss menghadapi senarai tugasan yang mencabar, dengan UK berada dalam cengkaman krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad.
Inflasi berleluasa dan berada pada paras tertinggi 40 tahun sebanyak 10.1 peratus, dengan ramalan lebih buruk akan datang.
Isi rumah menghadapi kenaikan 80 peratus dalam bil gas dan elektrik mulai Oktober, manakala sektor perniagaan memberi amaran bahawa mereka boleh melonjak sehingga ke paras siling ekoran kenaikan yang lebih besar.
Truss, yang meletakkan dirinya sebagai pengamal pasaran bebas liberal, telah menjanjikan pemotongan cukai untuk merangsang pertumbuhan, walaupun terdapat amaran bahawa pinjaman yang lebih besar boleh memburukkan inflasi. -AFP
(Boris Johnson tiba di Downing Street pada 5 September 2022 / REUTERS)