fb fb fb fb fb

Ratu Elizabeth II diletak di bawah pemantauan kesihatan


(Ratu Elizabeth II/AFP)

LONDON, 8 September- Istana Buckingham menjelaskan Ratu Elizabeth II berada di bawah pengawasan perubatan susulan kerpihatinan doktor terhadap kesihatan baginda.

Dalam satu kenyataan rasmi oleh Istana Buckingham pada Khamis, doktor yang merawatnya menasihatkan baginda diletakkan dalam pemantauan perubatan.

Ratu berusia 96 tahun itu, dilanda masalah kesihatan sejak Oktober lalu yang menyebabkan baginda mengalami kesukaran berjalan dan berdiri.

"Berikutan penilaian lanjut pagi ini, doktor Permaisuri mengambil berat tentang kesihatan Baginda dan telah mengesyorkan beliau kekal di bawah pengawasan perubatan," kata Istana Buckingham dalam kenyataan itu.

Pengumuman berkenaan dibuat sehari selepas ratu berusia 96 tahun itu membatalkan mesyuarat Majlis Privy dan diminta untuk berehat.

Istana menjelaskan ratu itu 'selesa' dan terus berada di Istana Balmoral di Scotland, tempat baginda menghabiskan musim panas.

Ratu Elizabeth dikhabarkan kelihatan lebih lemah dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang menyaksikannya menarik diri menghadiri acara rasmi.

Baginda ratu dilihat berjalan dengan bantuan tongkat pada beberapa penampilan rasminya dan dibawa menaiki kereta melawat tapak Pameran Bunga Chelsea.

Februari lalu baginda ratu turut disahkan positif COVID-19 yang diakui menjadikannya cepat letih.

(Papan bertulis "tiadau upacara pertukaran pengawal hari ini" dipamerkan di halaman istana Buckingham, London/AFP)

Waris utama keluarga diraja Putera Charles, 73, dan anaknya Putera William, 40, sedang menuju ke Scotland bagi melawat baginda ratu, menurut pejabat Clarence House dan Istana Kensington.

Secara rasmi, pihak istana hanya memaklumkan Ratu Elizabeth mengalami masalah mobiliti dan kesukaran berjalan tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Baginda kini berada dalam era Jubli Platinum menandakan 70 tahun memegang takhta sejak menggantikan ayahnya Raja George VI pada tahun 1952.-AFP

Media Baharu