fb fb fb fb fb

'Tren Zombie': Strategi terbaharu tarik orang ramai guna sistem pengangkutan awam

(Pelakon upahan beraksi sebagai zombie dalam tarikan terbaru stesen transit aliran ringan (LRT)
Jakarta di Indonesia bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam/AFP)



JAKARTA, 8 September- Pengendali transit aliran ringan (LRT) Jakarta mengubah tren dan stesennya ibarat set 'zombie' mirip kepada filem seram popular Korea Selatan, 'Train to Busan'.

Usaha itu menjadi strategi terbaru bagi menarik lebih ramai orang awam menggunakan sistem pengangkutan terbabit, sekali gus mengurangkan kesesakan teruk di jalan raya sekitar Jakarta.

Tarikan berbayar 'Train to Apocalypse' dikendali PT LRT Jakarta dan Pandora Box yang dilancarkan bulan lalu itu, bertujuan mempromosikan penggunaan sistem pengangkutan darat baharu itu, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Ibarat menonton filem berkaitan bencana diserang makhluk mengerikan itu, kumpulan pelakon tampil dengan solekan dan berpakaian seperti 'zombie' manakala pada dinding gerabak terdapat percikan serta tompokan 'darah'.

Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman terbabit, kumpulan zombie berkenaan akan menarik penumpang, mengejar mereka di sepanjang laluan tren yang gelap itu.

Malah, dalam bahagian tren akan memaparkan siaran berita kononnya virus 'Pandora' merebak di sekitar bandar raya berkenaan, mengubah manusia menjadi zombie.

Bagaimanapun, pengunjung akan diselamatkan tentera bersenjata yang melawan kumpulan zombie berkenaan sebelum membawa orang awam ke tempat selamat.

"Bahaya, awas zombie antara papan tanda amaran di stesen berkenaan yang diterangi dengan lampu kecemasan berwarna merah.

"Sebenarnya zombie terbabit tidak mengejar kita, namun kita tetap akan berasa panik," katanya seorang pengunjung, Genesis Christi, 17.

(Pelakon upahan beraksi sebagai zombie dalam tarikan terbaru stesen transit aliran ringan (LRT) Jakarta
di Indonesia bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.awam/AFP)


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pandora Box, Billy Junior, berkata tarikan itu mengambil iktibar daripada filem 'Train to Busan'.

"Kami mahu golongan muda merasakan bahawa menggunakan pengangkutan awam adalah sesuatu yang menyeronokkan," katanya.

Jakarta, dengan lebih 30 juta penduduk, adalah antara bandaraya paling teruk tercemar di dunia dengan kesesakan trafik antara terburuk di dunia, malah siar kakinya yang tinggi rendah tidak sesuai untuk pejalan kaki.

Sistem LRT di negara itu memulakan operasi komersial pada Disember 2019 dan ketika itu, pakar pengangkutan memberi amaran bahawa konsep pengangkutan baharu dan tambang murah tidak cukup bagi mengatasi masalah trafik di Jakarta.

Bagi orang ramai yang ingin merasai pengalaman 'diserang' zombie', Train to Apocalypse mengenakan bayaran antara 60,000 hingga 70,000 rupiah (RM18-RM21). -AFP

Media Baharu