LONDON, 9 September- Pemerintah paling lama berkhidmat di Britain, Ratu Elizabeth ll mangkat pada usia 96 tahun.
Perkara itu disahkan Istana Buckingham pada Khamis.
“Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Balmoral petang ini,” menurut kenyataan pihak istana.
Susulan itu putera sulung baginda, Putera Charles, 73 secara automatik menjadi Raja United Kingdom dan ketua negara untuk 14 negara termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
Manakala isterinya, Camilla bergelar Permaisuri.
"Raja dan Permaisuri akan kekal berada di Balmoral petang ini dan kembali ke London esok," menurut kenyataan itu lagi.
(Ratu Elizabeth ll / Foto REUTERS)
Berita bahawa kesihatan Ratu Elizabeth ll semakin merosot dilaporkan selepas tengah hari semalam apabila doktor yang merawat baginda memaklumkan baginda memerlukan pengawasan perubatan.
Ia mendorong anggota kerabat bergegas ke kediaman baginda untuk berada di sisinya.
Ratu Elizabeth ll yang juga merupakan ratu tertua dunia dilaporkan menghidap 'episodic mobility problems' sejak hujung tahun lalu.
Kali terakhir Ratu Elizabeth ll muncul di khalayak awam pada Selasa ketika baginda melantik Liz Truss sebagai Perdana Menteri ke-15.
Ratu Elizabeth ll menaiki takhta susulan kemangkatan ayahandanya, Raja George Vl pada 6 Februari 1952 ketika baginda berusia 25 tahun. -REUTERS