fb fb fb fb fb

PBB sokong teguran terhadap serangan udara AS di Caribbean dan Pasifik

Foto REUTERS

NEW YORK, 8 November – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyokong pandangan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Volker Turk bahawa serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Caribbean dan Pasifik Timur melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq berkata berdasarkan maklumat setakat ini, tiada individu di atas bot yang disasarkan dilihat menimbulkan ancaman segera atau membenarkan penggunaan kekerasan bersenjata maut, dan menyeru agar kaedah penguatkuasaan undang-undang digunakan untuk menangani penyeludupan haram di laut lepas.

Turk sebelum ini menegaskan bahawa AS “perlu menghentikan serangan itu dan mengambil semua langkah perlu bagi mengelakkan pembunuhan di luar proses undang-undang terhadap individu di atas bot tersebut.”

Pada Khamis, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, memaklumkan melalui platform X bahawa pasukan AS menyerang sebuah lagi bot penyeludupan dadah di Caribbean, mengorbankan tiga individu, menjadikan jumlah bot yang dimusnahkan sekurang-kurangnya 18 buah. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN