fb fb fb fb fb

Mahkamah Agung AS benarkan Trump tangguh dana bantuan makanan AS$4 bilion

Foto REUTERS

WASHINGTON, 8 November – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan pentadbiran Presiden Donald Trump menangguhkan sementara peruntukan kira-kira AS$4 bilion bagi membiayai sepenuhnya program bantuan makanan untuk 42 juta rakyat berpendapatan rendah bulan ini, susulan penutupan kerajaan persekutuan.

Perintah penangguhan sementara yang dikeluarkan Hakim Ketanji Brown Jackson itu memberi lebih masa kepada Mahkamah Rayuan meneliti permohonan pentadbiran bagi membiayai sebahagian sahaja Program Bantuan Pemakanan Tambahan (SNAP).

Terdahulu, Hakim Daerah John McConnell di Rhode Island mengarahkan Jabatan Pertanian AS (USDA) menyalurkan bayaran penuh manfaat SNAP bagi November, yang dianggarkan berjumlah antara AS$8.5 bilion hingga AS$9 bilion.

Pentadbiran Trump sebelum ini memaklumkan hanya mampu menyediakan AS$4.65 bilion sebagai dana kecemasan bagi menampung sebahagian manfaat tersebut.

Penangguhan itu menyebabkan manfaat SNAP tergendala buat kali pertama dalam sejarah 60 tahun program berkenaan, memaksa penerima bergantung kepada bank makanan dan menyesuaikan perbelanjaan harian mereka.

SNAP membantu rakyat AS berpendapatan kurang daripada 130 peratus daripada garis kemiskinan persekutuan, dengan manfaat maksimum bagi tahun fiskal 2026 ditetapkan sebanyak AS$298 untuk individu dan AS$546 bagi isi rumah dua orang. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN