fb fb fb fb fb

Rasuah: Menteri pengangkutan Singapura, taikun hotel ditahan

(S. Iswaran/AFP)

SINGAPURA, 15 Julai- Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran ditahan untuk siasatan kes rasuah peringkat tertinggi yang dikaitkan dengan seorang taikun hotel mewah.

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) memaklumkan, Iswaran ditahan pada 11 Julai lalu dan dibebaskan dengan jaminan

"Taikun hotel, Ong Beng Seng yang merupakan salah seorang individu terkaya Singapura turut ditahan pada hari sama dan dibebaskan dengan jaminan," katanya dalam kenyataan.

CPIB memberi kebenaran Ong untuk meninggalkan Singapura semalam selepas menaikkan jaminannya kepada SG$100,000 (lebih RM34,0000).

"Sekembalinya, Ong dikehendaki melaporkan diri kepada CPIB dan menyerahkan pasport kepada biro," katanya.

Bagaimanapun, biro itu tidak mendedahkan butiran lanjut penyiasatan yang telah 'mencengkam' negara berkenaan sebagai antara negara paling kurang rasuah di dunia.

Menteri kabinet Singapura dibayar gaji setanding dengan golongan berpendapatan tinggi dalam sektor swasta untuk mencegah rasuah.

Ong merupakan pengarah urusan Hotel Properties Limited (HPL) yang memiliki rangkaian hotel dan resort mewah di lokasi sekitar Asia dan Pasifik.

Difahamkan, Ong adalah rakyat Malaysia yang merupakan penduduk tetap Singapura dipuji kerana membantu membawa Grand Prix Formula Satu (F1) ke Singapura pada 2008.

Syarikat swastanya, Singapore GP dan Lembaga Pelancongan Singapura tahun lalu memperbaharu kontrak untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1 sehingga 2028.

Sementara itu, Iswaran diarah bercuti oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong selepas CPIB berkata menteri itu 'pada masa ini membantu' siasatan yang sedang dijalankan. -AFP

(Ong Beng Seng dan S. Iswaran dalam majlis pecah tanah simbolik pembinaan
Formula Satu Grand Prix Singapura di Singapura
pada 31 Ogos 2007/AFP)

Media Baharu