QUETTA, 13 Mac – Pasukan keselamatan Pakistan pada Rabu menyerbu sebuah kereta api yang telah dirampas oleh militan pemisah Baloch, sekali gus menamatkan pertembungan selama sehari yang melibatkan ratusan tebusan.
Dalam operasi itu, 33 militan terbunuh, menurut kenyataan tentera.
Militan pemisah dari Tentera Pembebasan Baloch (BLA) pada Selasa telah meletupkan landasan kereta api dan melancarkan serangan roket ke arah Jaffar Express, yang dalam perjalanan ke Peshawar dari Quetta, ibu kota wilayah Balochistan. Ketika serangan kereta api itu membawa 440 penumpang.
Menurut tentera, sepanjang insiden tersebut, 21 tebusan dan empat anggota keselamatan terkorban.
"Hari ini kami berjaya membebaskan sejumlah besar tebusan, termasuk wanita dan kanak-kanak.
"Operasi terakhir dijalankan dengan penuh cermat," kata jurucakap tentera Ahmed Sharif Chaudhry, sambil menegaskan tiada orang awam terbunuh dalam peringkat akhir operasi.
Namun, sebelum pengumuman rasmi tentera, BLA mendakwa telah membunuh 50 penumpang pada malam Rabu.
Kumpulan itu sebelum ini menyatakan bahawa mereka menahan 214 tebusan, kebanyakannya anggota keselamatan.
Kumpulan militan juga mengancam untuk membunuh tebusan sekiranya kerajaan tidak memenuhi tuntutan mereka dalam tempoh 48 jam, termasuk pembebasan tahanan politik Baloch, aktivis, serta individu yang didakwa hilang akibat tindakan ketenteraan.
BLA merupakan kumpulan pemisah terbesar di Balochistan dan telah meningkatkan serangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menggunakan taktik baharu bagi meningkatkan jumlah korban serta menyasarkan pasukan keselamatan Pakistan.
Kumpulan militan Baloch mendakwa mereka berjuang untuk pembahagian kekayaan sumber galian dan mineral lebih besar yang telah dinafikan oleh kerajaan pusat.-REUTERS.