fb fb fb fb fb

Ramai pekerja asing memasuki Tajikistan selepas serangan di Moscow

Pekerja mengalihkan serpihan di dewan konsert yang terbakar berikutan serangan tembakan/REUTERS

MOSCOW, 30 Mac- Berlaku lonjakan pekerja asing yang meninggalkan Rusia ke Tajikistan selepas serangan dewan konsert pada 22 Mac lalu di Moscow, kata Kementerian Buruh, Migrasi dan Pekerjaan Tajikistan.

Lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah penonton konsert. Ia merupakan serangan terburuk di Rusia dalam dua dekad ini dan menyebabkan sekurang-kurangnya 144 individu terbunuh.

Empat daripada suspek lelaki bersenjata adalah warga Tajikistan dan telah ditangkap bersama-sama tujuh suspek lain. Beberapa daripadanya berasal dari negara Asia Tengah bekas Soviet.

"Kami menerima banyak panggilan. Ini kemungkinan besar bukan aduan tentang gangguan, tetapi ketakutan rakyat kita. Mereka panik dan ramai yang mahu pergi.

"Kami kini memantau keadaan, lebih ramai orang datang (ke Tajikistan)," kata timbalan ketua kementerian Shakhnoza Nodiri.

Tajikistan menahan sembilan individu minggu ini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan tembakan besar-besaran itu, kata sumber keselamatan Tajikistan kepada Reuters.

Menurut Presiden Persatuan Pembina Kebangsaan (NOSTROY) Anton Glushkov, kekurangan buruh dalam ekonomi Rusia mungkin menjadi lebih teruk disebabkan pengaliran keluar pekerja asing.

Dianggarkan defisit dalam industri pembinaan meningkat sebanyak 36 peratus tahun ini berbanding 2022.

Bank Pusat Rusia berkata, kekurangan kakitangan memberi kesan kepada kenaikan gaji dan akan menyumbang risiko terhadap inflasi.

Bagaimanapun Kementerian Buruh Tajikistan menjangkakan pengaliran keluar pendatang dari Rusia adalah sementara.

Menurut laman web kementerian, seramai 652,014 buruh migran meninggalkan negara itu pada 2023 berbanding 775,578 pada 2022.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI