SEMENANJUNG GAZA, 17 Mac- Pejabat Akhbar Kerajaan Hamas melaporkan sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dalam serangan tentera Israel di Nuseirat, Gaza.
Jurucakap pejabat media kerajaan, Salama Maarouf, berkata serangan itu adalah satu daripada 60 serangan udara yang dilaporkan semalam.
"Ini adalah malam berdarah, malam yang sangat berdarah," katanya.
Mohammed al-Tabatibi, 19, berkata tentera Israel mengebom rumah beliau ketika ibu dan makciknya sedang menyiapkan hidangan sahur.
"Ini ibu saya, ini ayah saya, ini ibu saudara saya, dan ini adik-beradik saya.
"Mereka mengebom rumah ketika kami berada di dalamnya. Ibu dan makcik sedang menyediakan juadah sahur. Mereka semua syahid," katanya sebelum mayat disusun di atas trak untuk dibawa ke tanah perkuburan.
Dalam kejadian itu, seramai 36 ahli keluarga Tabatibi terkorban manakala Mohammed cedera di tangan kirinya.
Kementerian Kesihatan di Gaza, menyalahkan Israel atas serangan di Nuseirat, begitu juga dengan mangsa yang terselamat.
Ditanya mengenai serangan semalam, tentera Israel berkata ia menyasarkan dua "operasi pengganas" di Nuseirat sepanjang malam tanpa mengulas lanjut.
"Keadaan kejadian itu sedang dikaji semula," katanya.
Perang di Gaza meletus dengan serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan, yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP mengenai angka Israel.
Kempen tentera Israel untuk memusnahkan Hamas telah membunuh sekurang-kurangnya 31,553 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas.
Di Rafah, di mana majoriti 2.4 juta penduduk Gaza telah mencari perlindungan, lebih banyak pertumpahan darah dikhuatiri selepas pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Jumaat beliau telah meluluskan rancangan untuk operasi ketenteraan di sana.
Namun sebelum sebarang operasi sedemikian bermula, serangan udara berterusan, termasuk pada awal Sabtu yang dikatakan oleh saksi membunuh Issa Duhair iaitu muazin sebuah masjid, bersama dua anak lelakinya. -AFP