GENEVA, 17 Mac – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu merayu kepada Israel “atas nama kemanusiaan” supaya tidak melancarkan serangan ke atas Rafah, di mana kebanyakan penduduk Gaza berlindung.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam catatan di X memaklumkan keprihatinan pihaknya terhadap laporan mengenai rancangan Israel untuk meneruskan serangan darat ke atas Rafah
“Keganasan yang semakin meningkat di kawasan yang padat penduduk ini akan membawa kepada lebih banyak kematian dan penderitaan.
"Atas nama kemanusiaan, kami merayu kepada Israel untuk tidak meneruskan dan sebaliknya berusaha ke arah keamanan," katanya.
Ujarnya, pemindahan yang dirancang oleh tentera Israel sebelum melancarkan serangannya bukanlah penyelesaian yang praktikal.
“1.2 juta penduduk di Rafah tidak mempunyai tempat yang selamat untuk dipindahkan.
"Tiada kemudahan kesihatan yang berfungsi sepenuhnya dan selamat yang boleh mereka capai di tempat lain di Gaza. Ramai orang terlalu rapuh, lapar dan sakit untuk dipindahkan lagi...
"Bencana kemanusiaan ini tidak boleh dibiarkan menjadi lebih teruk," tambahnya lagi,
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan "rancangan tindakan tentera di Rafah", menurut satu kenyataan pada Jumaat, yang tidak memberikan butiran atau garis masa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat juga telah berulang kali memberi amaran terhadap operasi ketenteraan sedemikian.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam.
Manakala dalam serangan balas Israel pula, sekurang-kurangnya 31,553 orang terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan.- AFP