COPENHAGEN, 16 MAC - Sebuah gunung berapi di Iceland meletus semula buat kali keempat sejak Disember tahun lalu, menurut pejabat meteorologi negara itu.
Letusan itu mengeluarkan asap dan lava berwarna oren terang ke udara sehingga langit kelihatan gelap gelita bagaikan waktu malam.
Dalam rakaman video dari helikopter Pengawal Pantai dan disiarkan melalui RUV, lava merebak dengan pantas dari setiap sudut dan mengalir keluar dari rekahan di sepanjang permukaan tanah.
Letusan itu berlaku pada 8.30 waktu tempatan kira-kira sepanjang 2.9 kilometer (km).
Pejabat Meteorologi Iceland dalam satu kenyataan, berkata saiz lahar itu sama seperti letusan terakhir pada Februari lalu.
Katanya, pihak berkuasa telah memberi amaran selama berminggu-minggu bahawa letusan akan berlaku di semenanjung Reykjanes di selatan ibu negara Iceland, Reykjavik.
"Ia merupakan tapak letusan antara Hagafell dan Stora-Skogfell, kawasan yang sama seperti kejadian sebelumnya pada 8 Februari," kata pejabat MET.
"Ini pasti dijangka," kata Rikke Pedersen, ketua Pusat Gunung Berapi Nordic.
"Sudah pasti, mustahil untuk meramal masa sebenar bilakah letusan akan berlaku. Isyarat pertama ini bergerak ke arah permukaan sebenarnya hanya berlaku kira-kira 15 minit lebih awal," katanya.
Sementara itu, laman web Lapangan Terbang Keflavik Reykjavik memaklumkan bahawa penerbangan tetap beroperasi untuk berlepas dan ketibaan.
Lava kelihatan mengalir dengan pantas ke selatan menuju ke bandar nelayan berhampiran Grindavik yang memiliki hampir 4,000 penduduk. - AFP