AMERIKA SYARIKAT, 17 Mac - Seorang lelaki menembak mati tiga ahli keluarganya di sebuah rumah di Trenton, New Jersey semalam.
Mangsa termasuk ibu tirinya yang berusia 52 tahun, adik perempuannya berusia 13 tahun dan seorang wanita yang merupakan ibu kepada dua orang anak.
Suspek Andre Gordon, berusia 26 tahun telah menyerah diri selepas usaha menahan suspek selama sejam kata jurucakap Jabatan Polis Trenton, Lisette Rios.
Menurutnya, suspek yang dianggap berbahaya itu menyembunyikan diri dalam sebuah rumah yang telah dikepung oleh pihak polis.
Katanya, tiga orang yang berada dalam rumah tersebut juga berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. - AFP