fb fb fb fb fb

Rakyat Yaman tebang pokok untuk bahan bakar, wang tunai

(Seorang lelaki menyusun dahan pokok sebelum memotongnya untuk dijadikan kayu api/AFP)

TAEZ, 26 Februari- Bunyi gergaji elektrik memenuhi landskap gunung yang subur di selatan Yaman setelah konflik bertahun-tahun dan harga yang melambung tinggi menyebabkan orang ramai terdesak untuk mendapatkan bahan bakar dan pendapatan.

“Kami mula menebang pokok dan menjualnya kerana kami tiada cara lain untuk mencari rezeki,” keluh Hussein Abdulqawi dari hutan yang semakin menipis di pinggir Taez.

Dia dan pekerja lain menyeret kayu yang baru dipotong ke belakang sebuah van berhampiran bandar itu, yang dikepung oleh pemberontak tetapi masih bawah kawalan kerajaan.

Perang lebih lapan tahun antara tentera kerajaan yang disokong Arab Saudi dengan pemberontak Huthi yang pro-Iran telah memusnahkan Yaman, negara termiskin di Semenanjung Arab.

Berikutan pencerobohan Rusia di Ukraine setahun yang lalu, kenaikan harga makanan dan bahan bakar global menambah lagi penderitaan.

Abdulqawi mengakui dia "menyumbang kepada malapetaka alam sekitar" tetapi berkata dia kekurangan pilihan di negara yang ramai penduduk tidak mampu membeli bahan bakar untuk pemanasan dan memasak.

"Kami tiada pilihan selain menjual kayu, sama seperti pelanggan yang tiada pilihan selain membelinya", katanya.

Pemberontak Huthi merampas ibu kota Sanaa pada 2014, mendorong pakatan yang diketuai Arab Saudi untuk campur tangan pada tahun berikutnya untuk menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sejak itu, perang telah menyebabkan ratusan ribu kematian secara langsung dan tidak langsung, mengheret negara ke ambang kebuluran.

Dianggarkan 21.6 juta orang, dua pertiga daripada penduduk Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan perlindungan pada 2023, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu. -AFP

(Orang ramai berjalan melepasi pokok yang telah ditebang untuk digunakan sebagai kayu
api, di pinggir Taez/AFP)

Media Baharu