fb fb fb fb fb

Rakyat Perancis digesa kurang guna wifi untuk jimat kuasa

PARIS, 21 Julai- Kerajaan Perancis menggesa rakyat negara itu supaya berusaha menjimatkan tenaga dalam menghadapi harga minyak dan gas yang tinggi, termasuk mengurangkan penggunaan penghala (router) wifi ketika bercuti.

"Setiap tenaga yang dapat kita simpan secara kolektif sekarang adalah tenaga yang kita pasti akan dapat gunakan pada musim luruh atau musim sejuk," kata jurucakap kerajaan, Olivier Veran kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan kabinet.

"Apabila anda pergi makan angin atau bercuti hujung minggu, cabut palam sebanyak mungkin kerana jika tidak peralatan elektrikal akan terus menggunakan tenaga. Anda harus mencabut palam wifi anda khususnya," katanya.

Gesaan itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat di Perancis dan di seluruh Eropah tentang kekurangan tenaga pada akhir tahun ini berikutan rancangan Rusia mengurangkan atau menghentikan sepenuhnya bekalan minyak dan gas ke negara yang 'tidak mesra Kremlin'.

(Olivier Veran menyeru orang ramai untuk mengurangkan penggunaan wifi untuk jimat kuasa
/AFP)

 



Banyak negara berlumba-lumba mengisi kemudahan penyimpanan gas pada musim panas, apabila penggunaan biasanya lebih rendah daripada musim sejuk.

Namun, gelombang haba baru-baru ini telah meningkatkan permintaan terhadap loji kuasa untuk penyaman udara.

"Usaha harian boleh memberi impak sebenar kepada penggunaan tenaga kami," kata Veran sambil menambah bahawa Perancis menyasarkan untuk mengisi tangki gasnya kepada 100 peratus kapasiti. -AFP

Media Baharu