BAITULMAQDIS, 14 Mei- Ribuan rakyat Palestin memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh yang ditembak mati dalam serbuan tentera Israel di Tebing Barat.
Israel dan Palestin masing-masing saling menuduh antara satu sama ke atas pembunuhan Shireen, ketika pertempuran di kem pelarian Jenin.
Pihak berkuasa Palestin menyifatkan pembunuhan wartawan itu sebagai pembunuhan yang disengajakan oleh tentera Israel.
(Antara rakyat Palestin yang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Shireen Abu Akleh -AFP)
Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata Israel bertanggungjawab sepenuhnya dan menggesa siasatan antarabangsa dijalankan.
Ribuan orang berbaris di jalanan ketika kerandanya yang dibalut bendera Palestin melalui bandar Baitulmaqdis.
Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa Bersatu turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.
Namun Palestin menolak untuk mengadakan siasatan bersama dengan Israel. -AFP