fb fb fb fb fb

Rakyat Palestin berdepan situasi pemindahan paksa

Foto Fail/Reuters

AMMAN, 13 Mei- Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini mendakwa 'zon selamat' di Gaza sebagai palsu dan mengelirukan.

Kebimbangan itu dizahirkan ketika penduduk Palestin di Gaza terus diarah berpindah oleh pihak berkuasa Israel yang dianggap sebagai pemindahan paksa.

Menurutnya, sejak perang bermula Oktober tahun lalu, kebanyakan penduduk Gaza dipaksa berpindah secara kerap, dengan secara purata sebulan sekali, bagi mengelakkan mereka ditahan dan dibunuh oleh tentera Israel.

UNRWA menganggarkan kira-kira 300,000 orang kini melarikan diri dari Rafah kerana perpindahan paksa yang tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin sepanjang minggu lepas.

Banyak kawasan di Gaza musnah, memaksa 85 peratus daripada penduduknya berpindah di dalam wilayah mereka sendiri, di samping sekatan terhadap makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Sementara itu, Hamas mendakwa telah menjatuhkan bom dari dron yang menyasarkan sebuah kereta kebal milik Israel.

Operasi dipercayai telah dilancarkan di timur kem Jabalia.

Agensi media Reuters mengesahkan lokasi struktur bangunan dan bumbung yang dilihat dalam video, sepadan dengan imej satelit di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan bila video itu dirakam.

Operasi Hamas juga sebagai tindak balas terhadap langkah Israel yang meningkatkan serangan kententeraan di kem pelarian Jabalia.

Jurucakap tentera negara haram, Daniel Hagari, sebelum ini mendakwa telah mengenal pasti cubaan Hamas untuk membina semula keupayaan ketenteraan di Jabalia.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM