GENEVA, 28 November - Pilihan raya umum di Myanmar yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan tidak mungkin bebas atau adil, kata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Jeremy Laurence dalam taklimat media di Geneva memberi amaran, junta tentera dijangka akan memasang kamera pemantauan elektronik besar-besaran di pusat mengundi.
“Pengundian yang dikawal tentera ini akan dijalankan dalam suasana penuh ancaman dan keganasan yang membahayakan nyawa orang awam,” katanya.
“Ketidaktentuan keselamatan yang semakin meningkat serta ketiadaan langkah-langkah untuk melindungi orang awam menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan pengundi yang memilih atau dipaksa untuk mengambil bahagian,” tambah Laurence.
Kumpulan hak asasi manusia juga menegaskan, pilihan raya itu tidak sah, dengan figura demokrasi, Aung San Suu Kyi dijatuhkan dan dipenjarakan selepas rampasan kuasa tentera, manakala parti pimpinannya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dibubarkan.
Laurence menegaskan bahawa pilihan raya itu tetap akan berlangsung walaupun tentera secara aktif menindas parti yang menyertainya.
'Banyak parti politik utama dan jiga keseluruhan kumpulan minoriti termasuk Rohingya, Tamil, Gurkha dan Cina, telah diketepikan."
"Pada masa yang sama, “tentera telah meningkatkan pemantauan elektronik besar-besaran untuk mengenal pasti golongan yang menentang, dan terdapat kebimbangan bahawa kaedah sama akan digunakan di pusat pengundian,” katanya lagi.
Tentera Myanmar merampas kuasa pada 2021 hingga mencetuskan perang saudara yang berlarutan.
Junta kemudian mencadangkan pilihan raya yang dijadual bermula pada 28 Disember sebagai jalan menuju keamanan.
Namun, pilihan raya tidak akan diadakan di kawasan yang dikuasai kumpulan pemisah dan pemerhati poltik melihatnya sebagai helah untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan tentera. -AFP