JAKARTA, 13 Mei - Gunung berapi Ibu di Indonesia meletus hari ini, memuntahkan asap tebal lebih lima kilometer ke langit di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara menggesa pihak berkuasa menaikkan paras berjaga-jaga ke tahap kedua tertinggi.
Tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
"Jalur abu kelabu-hitam diperhatikan dengan "intensiti tebal, condong ke arah barat," kata ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan.
Wafid menggesa penduduk berhampiran supaya memakai pelitup muka dan cermin mata apabila keluar dari kediaman bagi melindungi daripada abu gunung berapi yang jatuh.
Tahap amaran kekal pada tahap kedua tertinggi dalam sistem empat peringkat pada Isnin selepas pihak berkuasa menaikkannya minggu lalu, dengan zon terkecuali antara tiga dan lima kilometer di sekitar kawah gunung berapi.
Ibu merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, meletus lebih 21,000 kali pada tahun lepas.
Pegawai Agensi Geologi, Sofyan Primulyana berkata Ibu merekodkan purata 58 letusan sehari pada 2023.
Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.
Bulan lalu, Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa beribu-ribu penduduk pulau berhampiran berpindah dan ia kekal pada tahap berjaga-jaga tertinggi.-AFP