fb fb fb fb fb

Kebakaran kompleks kediaman di Hong Kong: ICAC tahan 8 suspek

Tragedi kebakaran kompleks kediaman terburuk di Hong Kong sejak tahun 1980 / Foto AFP

HONG KONG, 28 November - Badan pemantau antirasuah Hong Kong telah menahan lapan individu pada Jumaat dipercayai ada kaitan dengan tragedi kebakaran di kompleks kediaman yang mengorbankan sekurang-kurangnya 128 orang.

"Suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita itu termasuk konsultan, subkontraktor perancah dan orang tengah bagi rojek berkenaan, " menurut Suruhanjaya Bebas Memerangi Rasuah (ICAC).

Suruhanjaya berkenaan telah membuka siasatan berhubung kebakaran di kompleks yang dalam proses pengubahsuaian.

Kebakaran itu memusnahkan tujuh daripada lapan blok pangsapuri di kawasan perumahan tersebut, yang keseluruhannya merangkumi hampir 2,000 unit, selama lebih 40 jam sebelum api berjaya dikawal.

Menurut ICAC, mereka yang ditangkap berusia antara 40 dan 63 tahun, termasuk empat individu daripada firma perunding projek pengubahsuaian Wang Fuk Court, iaitu masing-masing dua pengarah dan dua pengurus projek yang bertanggungjawab menyelia projek berkenaan.

Suspek lain terdiri daripada tiga subkontraktor perancah dan seorang orang tengah.

ICAC bagaimanapun, tidak memberikan perincian pengenai jenayah yang didakwa dilakukan mereka.

Pasukan penyiasat ICAC turut merampas dokumen kerja dan rekod bank dari 13 premis.

Polis Hong Kong juga mengumumkan pada Khamis mereka telah menahan tiga lelaki disyaki menyebabkan kematian tanpa niat bagi membantu siasatan. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN