fb fb fb fb fb

PBB kecam Israel bunuh dua pemuda Palestin di Tebing Barat tanpa perbicaraan

Video tular memaparkan dua warga Palestin diperlakukan kejam oleh tentera Israel di Tebing Barat / Foto AFP

GENEVA, 28 November - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pembunuhan dua warga Palestin yang ditembak mati ketika menyerah diri kepada tentera Israel sebagai satu pembunuhan di luar perbicaraan.

“Kami amat terkejut dengan pembunuhan secara terang-terangan dilakukan oleh polis sempadan Israel semalam terhadap dua lelaki Palestin di Jenin,” kata jurucakap pejabat hak asasi PBB, Jeremy Laurence kepada media di Geneva.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi PBB, Volker Turk menggesa agar siasatan bebas, segera dan berkesan dijalankan terhadap pembunuhan rakyat Palestin dan mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan dan pelanggaran lain di Tebing Barat dibawa sepenuhnya ke muka pengadilan.

Tentera dan polis Israel pada Khamis memaklumkan bahawa mereka sedang menyiasat pembunuhan di Jenin di utara Tebing Barat, yang dirakam dari beberapa sudut, termasuk oleh AFP.

Video yang tular di media sosial dan saluran televisyen memaparkan dua lelaki keluar dari sebuah bangunan dengan tangan ke atas, serta dikelilingi pihak berkuasa Israel.

Mereka kemudiannya dilihat terbaring di atas tanah sebelum diheret semula ke dalam bangunan.

Bunyi tembakan kedengaran sebelum dua lelaki terbabit dilihat terus terbaring.

Pihak Berkuasa Palestin mengenal pasti identiti mangsa sebagai Yussef Ali Asa'sa, 37 tahun dan Al-Muntasir Billah Mahmud Abdullah, 26 tahun.

Mereka dibunuh dengan kejam tanpa perbicaraan dan insiden itu dikecam sebagai jenayah perang.

Sementara itu, Laurence berkata, pembunuhan rakyat Palestin oleh pasukan keselamatan Israel dan peneroka haram Yahudi di Tebing Barat semakin meningkat tanpa ada suspek yang dibawa ke muka pengadilan meskipun Zionis mengumumkan siasatan dijalankan.

Sejumlah 1,030 penduduk Palestin maut di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur sejak perang Gaza bermula.

"Ini termasuk 223 kanak-kanak," katanya. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN