fb fb fb fb fb

AS keluarkan nasihat perjalanan minta rakyat tidak ke Rusia, ketegangan di sempadan Ukraine

FOTO AFP

WASHINGTON, 24 Januari- Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyat negara itu supaya tidak melakukan perjalanan ke Rusia.

Kenyataan itu menjelaskan, langkah dibuat disebabkan ketegangan yang semakin meningkat di sempadan Ukraine.

“Tidak perlu pergi ke Rusia disebabkan ketegangan yang masih berlaku di sepanjang sempadan Ukraine,” menurut kenyataan itu yang turut memberi peringatan bahawa rakyat AS mungkin berdepan ‘gangguan’ dan pihak kedutaan mempunyai kemampuan terhad untuk membantu.

Kenyataan sama menjelaskan, rakyat AS juga dilarang ke wilayah sempadan Rusia-Ukraine memandangkan situasi di sepanjang sempadan sukar diramalkan.

Perkembangan terbaru itu juga disebabkan penghantaran tentera Rusia dan latihan ketenteraan di kawasan tersebut.

Sementara itu, kerajaan AS juga telah mengarahkan para diplomat dan ahli keluarga mereka meninggalkan Kyiv, ibu negara Ukraine, disebabkan ancaman berterusan pihak Rusia.

Washington juga telah membenarkan petugas kedutaan dalam perkhidmatan tidak penting meninggalkan negara itu secara sukarela.

Rakyat AS yang berada di negara Barat Eropah juga diminta mempertimbang untuk meninggalkan negara dan memberi amaran tidak akan memindahkan mereka selepas sebarang ‘pencerobohan’ oleh pihak Moscow.

Rusia telah menugaskan puluhan ribu tentera ke sempadan Ukraine bersama-sama kenderaan perang termasuk kelengkapan senjata seperti artileri dan peluru berpandu atau misil.

Perkembangan terbaru itu menyebabkan Washington dan Eropah mengeluarkan amaran keras tatkala diplomasi setakat ini hanya membuahkasn hasil yang kurang berkesan.

Kremlin pula menafikan sebarang niat untuk menyerang jirannya, tetapi mengeluarkan syarat tiada perluasan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), terutamanya ke Ukraine serta penarikan tentera pakatan dari Barat Eropah.

NATO dilaporkan gagal memberikan jaminan terikat untuk menghalang penempatan tentera di Barat Eropah dan melarang keanggotaan Ukraine dalam pakatan tentera tersebut. -AFP

Media Baharu