fb fb fb fb fb

China ceroboh zon udara Taiwan, hantar 39 pesawat perang

FOTO AFP

TAIPEI, 24 Januari- China menghantar 39 pesawat perang, kebanyakan jet pejuang ke zon pertahanan udara Taiwan yang disifatkan kerajaan Taiwan sebagai tindakan ‘pencerobohan’ harian paling serius sejak Oktober tahun lalu.

Ancaman pencerobohan berterusan oleh kerajaan China terhadap Taiwan itu sudah lama berlanjutan selaras cita-cita China mahu mendapatkan wilayah itu termasuk secara paksa jika perlu.

Pada suku akhir 2021, iaitu pada 4 Oktober, menyaksikan China menceroboh secara besar-besaran di Zon Identifikasi Pertahanan Udara (ADIZ) apabila 56 pesawat perang memasuki zon pertahanan tersebut.

Kenyataan Kementerian Pertahanan Taiwan pada Ahad menyebut, mereka telah mengarahkan pasukan tentera menerbangkan pesawat untuk memberi amaran juga mengaktifkan peluru berpandu bagi mengesan 39 pesawat China yang memasuki ADIZ.

Pencerobohan itu termasuk 24 buah pesawat J-16 yang menurut pakar antara jet pejuang paling kerap ditugaskan untuk menguji sistem pertahanan udara Taiwan, 10 pesawat J-10 dan satu pesawat pengebom H-6, berkemampuan nuklear.

Taiwan hanya mula berkongsi maklumat pencerobohan ruang udaranya pada September 2020.

Oktober tahun lalu kekal sebagai bulan pencerobohan paling banyak, iaitu 196 pencerobohan, 149 kali dilakukan dalam tempoh empat hari ketika Beijing mengambut Hari Kebangsaan.

Beijing telah meningkatkan tekanan ke atas Taiwan sejak Tsai Ing-wen dipilih sebagai presiden pada 2016. Presiden baharu itu melihat Taiwan sebagai sebuah negara berdaulat dan bukan sebahagian daripada konsep 'Satu China'.

Tahun lepas, Taiwan merekodkan 969 pencerobohan oleh pesawat pejuang China di ADIZ berdasarkan pangkalan data dikumpulkan AFP; lebih dua kali ganda daripada kira-kira 380 pencerobohan pada tahun 2020. -AFP

Media Baharu