fb fb fb fb fb

Rakaman 'bodycam' Nichols mati dipukul polis dikeluarkan

(Rakaman 'bodycam' anggota polis yang memukul Nichols pada 7 Januari 2023 turut merakam mangsa
memanggil 'ibu' ketika dipukul dan disembur semburan lada/AFP)

WASHINGTON, 28 Januari- Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menzahirkan dirinya marah dan sangat sedih dengan rakaman terbaharu yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan insiden seorang lelaki kulit hitam, Tyre Nichols dari Memphis yang mati dipukul beberapa pegawai polis.

Bagaimanapun, Biden menyeru orang ramai agar kekal tenang dan elakkan daripada melakukan sebarang tunjuk perasaan sehingga membawa ke arah keganasan dan kemusnahan harta benda.

“Rakaman yang dikeluarkan petang ini (Jumaat) akan membuatkan orang ramai berasa marah secara wajar.

"Namun, mereka yang mencari keadilan tidak seharusnya menggunakan keganasan atau kemusnahan," kata Biden dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Biden hadir bersemuka dengan ibu dan bapa tiri mangsa bagi menzahirkan rasa kesal dan takziah di atas insiden berkenaan.

Biden memberitahu wartawan bahawa dia sedar akan potensi berlakunya protes ganas, namun ibu Nichols, RowVaughn Wells, telah membuat rayuan untuk orang ramai agar kekal tenang.

Lima pegawai polis yang juga berkulit hitam didakwa atas pertuduhan membunuh susulan kematian Nichols, 29.

Dalam satu kenyataan, peguam keluarga mangsa, Ben Crump dan Antonio Romanucci berkata, mangsa diarahkan berhenti oleh Polis Memphis di sebuah kawasan hentian pada 7 Januari lalu atas alasan memandu secara melulu.

"Selepas kejar mengejar, polis bertindak kasar dengan mangsa dan mangsa dipukul teruk sehingga dia tidak dapat dikenali.

"Mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan meninggal dunia pada 10 Januari," katanya.

Sementara itu, Jabatan Polis Memphis dalam satu kenyataan memaklumkan, lima pegawai polis berkenaan sudah dipecat dan kini dalam tahanan polis.

Lima pegawai itu - Justin Smith, Tadarrius Bean, Demetrius Haley, Emmitt Martin III dan Desmond Mills Jr - turut didakwa dengan pertuduhan melakukan serangan dan penculikan. -AFP

(Tyre Nichols/AFP)

Media Baharu