fb fb fb fb fb

Raja Thailand sahkan Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri

Paetongtarn Shinawatra (kanan) bersama-sama ayahnya yang juga bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra/ REUTERS

BANGKOK, 18 Ogos- Raja Thailand Maha Vajiralongkorn mengesahkan Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri Thailand pada Ahad, dua hari selepas parlimen memilihnya.

Ia sekali gus memberi ruang kepada Paetongtarn untuk membentuk kabinet dalam beberapa minggu akan datang.

Perkara itu mendapat perkenan raja dan merupakan satu formaliti, dibacakan oleh Setiausaha Dewan Perwakilan Rakyat Apat Sukhanand dalam satu majlis di Bangkok.

Paetongtarn mengenakan pakaian seragam rasmi, berlutut dan memberi penghormatan kepada potret Raja Vajiralongkorn sebelum memberikan ucapan ringkas.

Dalam ucapan itu Paetongtarn mengucapkan terima kasih kepada raja dan wakil rakyat kerana mengesahkan beliau sebagai Perdana Menteri Thailand.

"Sebagai ketua cabang eksekutif, saya akan menjalankan tugas bersama-sama penggubal undang-undang dengan hati terbuka," katanya.

"Saya akan mendengar semua pendapat supaya kita bersama-sama boleh membawa negara ke depan dengan stabil," katanya.

Paetongtarn, 37, menjadi Perdana Menteri termuda Thailand hanya beberapa hari selepas sekutu Srettha Thavisin dipecat sebagai perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan.

Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, Paetongtarn melalui undian dewan pada Jumaat dan memenangi 319 undi.

Jumlah undian itu hampir dua pertiga daripada dewan untuk menjadi perdana menteri wanita kedua Thailand dan Shinawatra ketiga untuk mengambil alih jawatan berkenaan selepas ibu saudaranya Yingluck Shinawatra dan bapanya Thaksin.

Paetongtarn, tidak pernah berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini dijangka akan menghadapi cabaran dalam pelbagai bidang.

Ia termasuk kemerosotan ekonomi, populariti parti Pheu Thai semakin berkurangan serta isu berkaitan program pemberian wang dalam dompet digital kepada rakyat Thailand.

Jumlah keseluruhan program berkenaan bernilai kira-kira 500 bilion baht ($14.46 bilion).- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI