fb fb fb fb fb

Serangan Israel ragut 17 nyawa lagi, berpuluh-puluh yang lain cedera

Tempat perlindungan musnah akibat serangan rejim zionis Israel/ REUTERS

KAHERAH, 18 Ogos- Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan Israel di bandar Zawayda tengah Gaza pada Sabtu, kata pegawai kesihatan.

Keganasan berlaku sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dijangka tiba di Israel pada Ahad untuk bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin.

Ia merupakan sebahagian usaha diplomatik yang dipertingkatkan untuk memuktamadkan perjanjian menamatkan pertempuran antara Israel dan Hamas.

Kebanyakan yang terbunuh di Zawayda merupakan daripada keluarga yang sama dan mereka termasuk lapan kanak-kanak dan empat wanita, menurut pegawai kesihatan.

"Mereka tidur di katil mereka, kanak-kanak dan bayi, kemudian tiga peluru berpandu menyasarkan tempat itu," kata Abu Ahmed Hassan, seorang jiran. Pemilik rumah itu adalah seorang peniaga yang dikenali, katanya.

"Tiada aktiviti ketenteraan (perlindungan) sama sekali di sini," tambahnya.

Menurut penduduk beribu-ribu telah keluar dari Maghazi untuk berlindung daripada serangan israel.

Pada Jumaat, Khan Younis ditetapkan sebagai zon kemanusiaan namun dianggap berbahaya oleh tentera Israel dan mereka diarah berpindah dari situ.

Sementara itu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, arahan Israel pada Jumaat itu merangkumi kawasan lain di luar zon kemanusiaan.

Ia telah menjejaskan kira-kira 170,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

"Ini adalah salah satu perintah pemindahan terbesar yang menjejaskan zon itu setakat ini dan ia mengecilkan saiz yang dipanggil 'kawasan kemanusiaan' kepada kira-kira 41 kilometer persegi, atau 11 peratus daripada keseluruhan kawasan Semenanjung Gaza," kata laporan OCHA.

Di bahagian tengah enklaf, kereta kebal Israel terus memasuki kawasan tersebut lebih jauh hingga ke kawasan timur Deir al-Balah. Kawasan berkenaan merupakan tempat perlindungan ratusan ribu penduduk Palestin.

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah dipindahkan berikutan serangan kejam rejim zionis Israel yang telah memusnahkan sebahagian besar kawasan itu.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, dalam satu lagi serangan udara Israel ke atas sebuah kereta di bandar Jenin di Tebing Barat, telah membunuh sekurang-kurangnya dua lagi rakyat Palestin, seorang berusia 18 tahun.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI