fb fb fb fb fb

Raja Salman selesai jalani pemeriksaan kesihatan

FOTO REUTERS

RIYADH, 25 April- Raja Arab Saudi Salman dilaporkan meninggalkan hospital pada Rabu selepas selesai melakukan pemeriksaan rutin.

Pemeriksaan kesihatan itu dijalankan di Hospital Pakar King Faisal di bandar pantai Laut Merah Jeddah, kata mahkamah diraja menurut Agensi Akhbar rasmi Saudi (SPA).

Kenyataan awal menyebut ketibaan Raja Salman di hospital berkenaan untuk ujian kesihatan yang dijangka berlangsung selama beberapa jam.

Raja Salman, 88, menaiki takhta sejak 2015 manakala anaknya, Mohammed bin Salman, 38, dinamakan sebagai putera mahkota pada 2017 dan kini berperanan menjalankan tugas ayahandanya.

Media kerajaan pada Selasa menyiarkan rakaman Raja Salman menghadiri mesyuarat kabinet mingguan.

Kali terakhir baginda memasuki hospital yang sama di Jeddah hampir dua tahun lalu, pada Mei 2022, menjalani kolonoskopi dan tinggal selama lebih seminggu untuk ujian lain, lapor SPA pada masa itu.

Beberapa bulan sebelum itu, baginda turut dimasukkan ke hospital pada Mac 2022 untuk menukar bateri pada perentak jantungnya.

Pada 2020, Raja Salman menjalani pembedahan untuk membuang pundi hempedunya pada.

Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia, selama bertahun-tahun berusaha untuk memadamkan spekulasi mengenai kesihatan Raja Salman.

Pada 2017, kerajaan negara itu menolak laporan dan spekulasi yang mengatakan raja merancang untuk turun takhta dan menyerahkannya kepada Putera Mohammed.

Raja Salman berkhidmat sebagai gabenor Riyadh selama beberapa dekad dan menteri pertahanan.

Pemerintahannya sebagai raja telah ditandai dengan reformasi sosial dan ekonomi yang bercita-cita tinggi yang sebahagian besarnya diuruskan oleh anaknya.

Putera Mohammed juga telah mengawasi tindakan keras terhadap perbezaan pendapat yang dikatakan penganalisis telah membantunya menyatukan kuasa.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE