fb fb fb fb fb

Raja Norway dirawat di hospital di Langkawi kerana jangkitan

Raja Harald V memerlukan tongkat untuk berjalan atas faktor kesihatan/AFP

OSLO, 28 Februari- Raja Norway, Raja Harald V dikejarkan ke sebuah hospital di Malaysia kerana jangkitan, kata jurucakap Keluarga Diraja Norway, semalam.

Memetik Reuters, Raja berusia 87 tahun itu dilapor sedang dalam lawatan peribadi ke Malaysia.

"Baginda telah jatuh sakit semasa percutiannya dan dimasukkan ke sebuah hospital di sana akibat jangkitan.

"Baginda mendapat penjagaan yang baik daripada kakitangan perubatan Malaysia dan Norway," kata keluarga diraja itu dalam satu kenyataan.

Raja Harald menjadi ketua negara istiadat Norway sejak 1991 dan merupakan raja tertua yang masih hidup di Eropah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, baginda telah berulang kali dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dan pelbagai masalah pernafasan, selain menjalani pembedahan jantung.

Sementara itu, menurut seorang pengguna Facebook, Azira Aziz, Raja Harald dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha di Langkawi.

Dia berkongsi bahawa baginda diserang jangkitan yang tidak dinyatakan ketika bercuti di pulau peranginan itu bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-87 pada 21 Februari lalu.

SITI AISHAH MD ISA