fb fb fb fb fb

Apple abaikan bina kereta elektrik

Foto Reuters

SAN FRANCISCO, 28 Februari - Syarikat Apple telah melupakan cita-citanya bagi membina kereta elektrik (EV), lapor media Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Keputusan itu sekali gus menamatkan projek yang berusia sedekad dan bermasalah.

Syarikat pembuat iPhone itu dilaporkan telah menempatkan kira-kira 2,000 pekerja bagi pembangunan program rahsia kereta elektrik berkenaan.

Projek pembangunan rahsia yang digelar sebagai Projek Titan itu yang bermula pada 2014 itu bertujuan membangunkan kereta elektrik sepenuhnya, menurut laporan media itu lagi.

Keputusan bagi menutup projek berkenaan diumumkan secara dalaman pada Selasa lapor Bloomberg dan The New York Times memetik sumber yang tidak dinamakan.

Apple dilaporkan telah melabur berbilion dolar dalam projek itu.

Apple tidak pernah mendedahkan rancangan kereta elektriknya secara terbuka, walaupun terdapat kebocoran media yang berterusan selama bertahun-tahun.

Pada 2022, laman web pakar 'The Information' menerbitkan laporan yang memperincikan masalah yang dihadapi oleh projek itu, termasuk pemergian beberapa pegawai eksekutif kerana kekurangan sokongan daripada kepimpinan tertinggi.

Beberapa pembuat kereta AS telah memperlahankan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) dalam beberapa bulan kebelakangan ini kerana permintaan yang semakin perlahan.

Pembuat kereta pandu sendiri Cruise dan Waymo yang dimiliki oleh induk Google Alphabet juga bergelut untuk mengembangkan produk mereka melangkaui San Francisco.

Elon Musk, pengasas Tesla dan peneraju industri EV, juga turutmemberi amaran tentang pertumbuhan yang lebih perlahan terhadap industri berkenaan pada 2024.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD