AMMAN, 16 Januari- Raja Jordan Raja Abdullah II memberi amaran berkenaan meningkatnya keganasan oleh penjajah Israel di Tebing Barat.
Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, Baginda mengulangi gesaan agar tekanan antarabangsa bagi mendesak penamatan pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung.
Menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, Baginda bertitah keperluan untuk gencatan senjata segera, menyediakan perlindungan kepada orang awam dan menyampaikan bantuan secara berterusan ke Gaza.
Baginda dengan tegas menolak sebarang percubaan untuk menghapuskan perjuangan Palestin dan memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat serta menekankan peranan masyarakat antarabangsa dalam mendesak kepulangan penduduk Gaza ke rumah mereka.
Titah Baginda, keganasan berterusan yang dilakukan oleh penjajah haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat serta pencabulan Israel di Baitulmaqdis, membawa kepada risiko konflik serantau.
"Gaza dan Tebing Barat tidak boleh dipisahkan, kerana kedua-duanya mesti menjadi sebahagian daripada negara Palestin," lapor agensi berita Jordan, Petra.