QUITO, 9 Januari- Ecuador mengisytiharkan darurat selepas raja dadah paling dikehendaki melarikan diri daripada tahanan keselamatan maksimum di penjara dan pergolakan berlaku di beberapa penjara di negara itu.
Presiden Daniel Noboa, yang memegang jawatan sejak November lalu, mengerahkan tentera memburu suspek berkenaan yang dikenali sebagai 'Jose Adolfo Macias' atau 'Fito'.
Operasi itu akan dilaksana selama dua bulan. Beliau berkata penduduk dikenakan perintah berkurung bermula11.00 malam hingga 5.00 pagi setiap hari.
Noboa menerusi siaran video berkata dalam tempoh darurat, sokongan penuh dari segi politik dan undang-undang akan diberi kepada anggota tentera bagi menentang kartel dadah terbesar di negara itu.
“Kami tidak akan berunding dengan pengganas mahupun berehat sehingga kami mengembalikan keamanan kepada semua warga Ecuador,” kata Noboa.
Ahad lalu, pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan ke atas penjara di bandar pelabuhan Guayaquil mendapati Fito telah 'hilang' dalam tahanan.
Menurut jurucakap Presiden Roberto Izurieta, lelaki berusia 44 tahun itu, juga dikatakan bertindak melakukan keganasan terhadap tahanan lain dan dipercayai melarikan diri hanya beberapa jam sebelum polis tiba.
"Kuasa kerajaan dikerahkan sepenhnya untuk mencari individu yang sangat berbahaya ini," kata Izurieta kepada TV tempatan Isnin.
Beliau berkata sistem penjara telah gagal berfungsi.
Sementara itu, pejabat pendakwa raya, memaklumkan telah membuka kertas siasatan dan memfailkan pertuduhan terhadap dua pegawai penjara yang didakwa terlibat dalam kes Fito.
Fito telah dipindahkan ke penjara tahap keselamatan maksimum pada Ogos lalu susulan pembunuhan calon presiden Fernando Villavicencio.-AFP