LONDON, 30 April- Raja Britain, Raja Charles III kembali menjalankan tugas diraja dan awam secara rasmi, pertama kali selepas menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif, hasil rawatan kansernya.
Pemimpin itu dilihat bersama isteri, Permaisuri Camilla melawat Pusat Kanser Macmillan Hospital Universiti Kolej di tengah London pada Selasa, fasiliti kesihatan yang mengenal pasti dan merawat pelbagai jenis kanser.
Pasangan itu tersenyum dan melambai kepada orang ramai sebelum masuk ke dalam untuk bertemu pakar perubatan, pesakit dan keluarga mereka.
Charles, 75, adalah penaung kepada Penyelidikan Kanser UK dan Sokongan Kanser Macmillan manakala Camilla, 76, adalah presiden sebuah badan amal sokongan kanser yang dikenali, Maggie's.
Charles menggantung kebanyakan tugas pada Februari selepas disahkan menghidap kanser, sementara menjalani rawatan kerana pembesaran prostat pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, sifat sebenar kansernya belum didedahkan.
Menurut jurucakap Istana Buckingham, Raja Charles yang menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu, akan terus menjalani rawatan seperti yang dijadualkan dan kekerapan adalah bergantung kepada tahap kesihatan semasanya.
"Pada Jumaat, doktor optimis dengan kemajuan rawatan yang dijalani Raja Charles III selain positif terhadap tahap pemulihannya yang berterusan," kata jurucakap itu.
Charles menggantikan ibunya, Ratu Elizabeth II pada September 2022, secara rasmi dinobatkan sebagai raja Britain yang baharu pada 6 Mei tahun lalu.- AFP