GENEVA, 3 Februari - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin buruk di selatan Gaza, dengan lonjakan orang ramai yang mencari keselamatan di Rafah telah menjadikan bandar itu sebagai “periuk tekanan keputusasaan”.
Agensi kemanusiaan PBB, OCHA berkata pihaknya bimbang dengan peningkatan permusuhan di Khan Yunis, yang telah mengakibatkan peningkatan jumlah yang menuju ke selatan Rafah sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Kebanyakan tinggal di dalam bangunan sementara, khemah atau di kawasan terbuka. Rafah adalah periuk tekanan keputusasaan dan kami takut untuk apa yang akan datang seterusnya," kata Jens Laerke, jurucakap OCHA pada taklimat di Geneva.
“Khan Yunis juga semakin diserang dan amat mengejutkan apabila mendengar tentang pertempuran di sekitar hospital, membahayakan keselamatan kakitangan perubatan, yang cedera dan sakit, serta beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan," tambah Laerke.
Mengenai mereka yang bergegas ke selatan, Laerke berkata: “Adakah mereka benar-benar selamat? Tidak. Tidak ada tempat yang selamat di Gaza juga bukan di Rafah.
"Setiap minggu kami fikir ia tidak boleh menjadi lebih buruk. Nah, lihatlah ia menjadi lebih teruk."
Laerke juga berkata sejak beberapa minggu kebelakangan ini, "Saya tidak mengesan sebarang peningkatan dalam situasi kemanusiaan, di mana-mana sahaja di Semenanjung Gaza."
Richard Peeperkorn, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi wilayah Palestin berkata Rafah pernah menjadi sebuah bandar dengan kira-kira 200,000 orang. Namun kawasan itu kini menjadi tempat perlindungan lebih separuh daripada dua juta penduduk Gaza.
"Apabila anda mendengar tentang kemungkinan serangan, ia tidak sepatutnya berlaku...Rafah tidak seharusnya diserang," katanya melalui pautan video dari Baitulmaqdis.
Daripada 36 hospital di Gaza, 13 daripadanya masih lagi berfungsi manakala dua yang lain berfungsi dengan minimum.
Peeperkorn berkata, dianggarkan 6,000 orang mengalami kecederaan perang manakala 2,000 yang lain menerima rawatan lain dan perlu perlu berpindah ke negara jiran Mesir.
Namun hanya 1,243 pesakit setakat ini yang dapat berbuat demikian.
Ahmed Dahir, ketua WHO di Gaza berkata “Orang ramai kelihatan lemah dan kurus akibat kekurangan nutrisi. Orang ramai yang ditemui semuanya bercerita mengenai kelaparan.
“Rakyat sedang mencari makanan dan keselamatan tetapi kedua-duanya hampir mustahil ditemui.”-AFP