WASHINGTON, 4 November - Ikon industri muzik, Quincy Jones, yang menerbitkan beberapa album Michael Jackson dan berkolaborasi dengan legenda seperti Frank Sinatra dan Count Basie, meninggal dunia pada usia 91 tahun, lapor media Amerika Syarikat (AS).
Kematian Jones disahkan jurucakapnya, Arnold Robinson, dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun punca kematian tidak dinyatakan, menurut laporan media AS.
Seorang pemuzik jazz, komposer dan pencipta trend, kepakaran Jones dalam studio dan kemahiran mengatur muzik menghubungkan bintang-bintang dalam dunia muzik abad ke-20.
Daripada Frank Sinatra hingga Michael Jackson, dari jazz ke hip-hop, Jones mengikuti zaman perubahan muzik pop sepanjang kerjaya lebih tujuh dekad.
Dilahirkan pada tahun 1933 di selatan Chicago, Quincy Delight Jones Jr. mula menunjukkan bakat bermain piano di pusat rekreasi dan menjadi rakan karib Ray Charles ketika remaja.
Jones sempat belajar di Berklee College of Music di Massachusetts sebelum menyertai pemimpin band Lionel Hampton dan akhirnya berpindah ke New York.
Di New York Jones mendapat perhatian sebagai pengatur muzik untuk bintang-bintang seperti Duke Ellington, Dinah Washington, Count Basie dan, tentunya, Charles.
Jones bermain trumpet kedua dalam lagu Elvis Presley 'Heartbreak Hotel' dan bekerjasama dengan Dizzy Gillespie selama beberapa tahun sebelum berpindah ke Paris pada
1957.
Jones kemudian mengembangkan kerjayanya di Hollywood dengan menggubah skor filem dan rancangan televisyen.
Sebagai salah satu tokoh hiburan yang paling banyak menerima penghargaan, Jones memenangi hampir semua anugerah pencapaian utama, termasuk 28 Grammy.
Beliau paling terkenal sebagai penerbit album Michael Jackson, 'Off the Wall', 'Thriller' dan 'Bad'. - AFP