DOHA, 27 April – Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani, mengumumkan pada Ahad bahawa terdapat sedikit kemajuan dalam rundingan yang berlangsung di Doha minggu ini bagi mencapai gencatan senjata baharu dalam perang Israel-Hamas.
Dalam sidang media, Sheikh Mohammed mengesahkan terdapat sedikit kemajuan apabila ditanya tentang laporan pertemuan pada Khamis antara beliau dan Ketua Agensi Perisikan Israel, Mossad, David Barnea, di ibu negara Qatar.
“Kita perlu mencari jawapan kepada persoalan utama, bagaimana untuk menamatkan perang ini. Itu, pada asasnya, adalah kunci utama kepada keseluruhan rundingan ini,” katanya.
Qatar, bersama Mesir dan Amerika Syarikat, pernah menjadi perantara kepada gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada 19 Januari. Namun, perjanjian itu tidak berjaya menamatkan konflik secara menyeluruh.
Fasa pertama gencatan senjata tersebut berakhir pada awal Mac apabila kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk langkah seterusnya. Israel menyambung semula serangan udara dan darat di seluruh Gaza pada 18 Mac selepas menghalang kemasukan bantuan.
Menurut laporan media Israel, Sheikh Mohammed bertemu Barnea di Doha pada Khamis bagi membincangkan kemungkinan perjanjian pertukaran tebusan.
“Pertemuan Khamis itu adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mencari jalan keluar,” katanya tanpa mengulas lanjut tentang butiran pertemuan.
Sementara itu, seorang pegawai Hamas memberitahu AFP bahawa kumpulan itu bersedia untuk memuktamadkan perjanjian bagi menamatkan peperangan, membebaskan semua tebusan, dan menjamin gencatan senjata selama lima tahun. Perkara itu dibincangkan dalam rundingan yang sedang berlangsung di Kaherah.
Perdana Menteri Qatar menegaskan bahawa usaha giat bagi mencari perjanjian terbaik dan menyeluruh yang menamatkan perang, membebaskan tahanan dan tidak memecahkannya kepada beberapa fasa.-AFP