fb fb fb fb fb

Lee Jae Myung menang pencalonan Parti Demokrat

Lee Jae Myung/ AFP

SEOUL, 27 April- Bekas pemimpin Parti Demokrat (DP) Lee Jae Myung, yang berjanji untuk pemulihan ekonomi dan dialog dengan Korea Utara, memenangi pencalonan presiden parti itu pada Ahad, menjelang pilihan raya Korea Selatan pada 3 Jun.

Lee, seorang peguam hak asasi manusia yang beralih menjadi ahli politik, memperoleh 89.77 peratus undi dalam pemilihan parti itu, mencatatkan peratusan tertinggi dalam pencalonan presiden DP sejak Korea Selatan beralih kepada demokrasi penuh pada 1987.

Dalam ucapan penerimaannya, Lee berikrar untuk membina "negara baharu sepenuhnya" dan "Korea Selatan sejati," dengan menekankan perpaduan negara sebagai keutamaannya, lapor agensi berita Yonhap.

"Saya akan dengan rendah hati memenuhi tanggungjawab untuk mencapai perpaduan negara, yang merupakan misi politik dan keutamaan tertinggi presiden," katanya.

Lee menyifatkan kemenangan besarnya sebagai cerminan harapan rakyat untuk demokrasi, keamanan, keselamatan, pemulihan, pertumbuhan dan kebahagiaan.

Beliau berjanji untuk "menutup pintu kepada era ketidaksamaan dan konflik" dan "membuka yang baru yang penuh dengan harapan dan perpaduan," dengan menggunakan perkataan "perpaduan" sebanyak 14 kali dalam ucapannya.

Gabenor Provinsi Gyeonggi Kim Dong Yeon menduduki tempat kedua dengan 6.87 peratus, manakala Kim Kyung Soo, bekas gabenor Gyeongsang Selatan, memperoleh 3.36 peratus.

Lee sebelum ini bertanding untuk jawatan presiden pada 2022, tetapi kalah tipis kepada bekas Presiden Yoon Suk Yeol dengan perbezaan 0.73 mata peratus.

Dalam percubaan keduanya, Lee mengalihkan tumpuan daripada dasar pengagihan kepada mempromosikan pertumbuhan ekonomi, teknologi, dan inisiatif mesra perniagaan, sambil menyatakan keterbukaan untuk berdialog dengan Korea Utara.- BERNAMA-YONHAP

ROSLINA BINTI DIN