fb fb fb fb fb

Jumlah korban di Gaza 52,243 orang, ratusan mangsa hilang meninggal dunia

Foto AFP

GAZA, 27 April – Angka kematian akibat perang di Gaza meningkat kepada lebih 52,000 orang, selepas beberapa ratus yang sebelum ini disenarai hilang disahkan maut.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban adalah seramai 52,243 orang.

"Kami telah menambah 697 terkorban kepada statistik kumulatif selepas data mereka disahkan oleh jawatankuasa yang memantau orang hilang," kata kementerian dalam satu kenyataan.

Beberapa agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang beroperasi di Gaza menyatakan bahawa data kementerian itu adalah sahih dan sering dirujuk oleh organisasi antarabangsa.

Sebuah hospital di wilayah Palestin itu turut mengesahkan data tersebut dan menerangkan proses pengesahan yang dilakukan.

"Keluarga mereka yang pada awalnya dilaporkan hilang telah memberitahu pihak berkuasa tentang kehilangan mereka, namun mayat mereka kemudian dijumpai, sama ada di bawah runtuhan atau di kawasan yang sebelum ini tidak dapat diakses oleh pasukan perubatan kerana kehadiran tentera Israel," kata jurucakap Hospital Al-Aqsa Martyrs, Khalil al-Daqran.

Beliau menambah bahawa pengumuman angka 697 itu dibuat setelah jawatankuasa kehakiman yang mengumpul dan memeriksa data selesai mendokumentasikan serta mengesahkan kematian dan mengubah status mangsa daripada orang hilang kepada meninggal dunia.

Apabila ditanya berkenaan angka yang tinggi diumumkan serentak, Pejabat Media Kerajaan Hamas di Gaza menjelaskan bahawa statistik dikeluarkan secara berkala.

Ini bukan kali pertama Kementerian Kesihatan mengumumkan semakan angka kematian seperti itu.

"Kerana jawatankuasa kehakiman mengeluarkan laporan mereka secara berkala, bukannya harian. Mereka mengikuti protokol prosedur mereka sendiri dan setelah laporan mereka selesai, ia secara rasmi diterima pakai," kata Pengarah Pejabat Media, Ismail al-Thawabta,  kepada AFP.

ROSLINA BINTI DIN