SANAA, 18 April-Sekurang-kurangnya lapan orang turbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat yang menyasarkan ibu kota negara itu pada Ahad, kata media kumpulan Huthi, Al Massira TV.
"Lapan syahid, termasuk kanak-kanak dan wanita... sebagai angka awal akibat pencerobohan Amerika di kawasan Thaqban di daerah Bani Al-Har," di utara Sanaa", lapor Stesen Televisyen tersebut.
Serangan terbaharu ini meningkatkan jumlah korban serangan Amerika Syarikat di Yaman kepada 228 orang, menurut pengiraan AFP berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Huthi.
Tentera Amerika Syarikat dalam kenyataan pada Ahad menyatakan bahawa sejak 15 Mac lalu, mereka telah melancarkan lebih 800 serangan di Yaman.
"Serangan ini telah membunuh ratusan pejuang Houthi dan ramai pemimpin mereka," kata Komando Pusat (CENTCOM) Amerika Syarikat dalam satu kenyataan.
Huthi, yang merupakan sebahagian daripada sekutu Iran dalam penentangannya terhadap Israel dan Amerika Syarikat, menggambarkan diri mereka sebagai pembela rakyat Palestin di Gaza di tengah-tengah konflik yang berterusan antara Israel dan Hamas.
Sejak Januari 2024, tentera Amerika Syarikat telah menyerang kedudukan Huthi dalam usaha untuk menghentikan serangan peluru berpandu dan dron kumpulan berkenaan ke atas Israel serta ke atas kapal dagang yang melalui laluan perdagangan penting di Laut Merah.
Serangan Houthi telah menjejaskan penghantaran melalui Terusan Suez iaitu laluan utama yang biasanya membawa kira-kira 12 peratus daripada trafik penghantaran dunia.
Serangan berkenaan memaksa banyak syarikat menggunakan laluan alternatif yang lebih mahal mengelilingi hujung selatan benua Afrika.
Sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan pada Januari, kempen serangan udara Amerika Syarikat di Yaman semakin dipertingkatkan, dengan serangan hampir setiap hari sepanjang bulan lalu.
Pada Ahad, Huthi mendakwa telah melancarkan peluru berpandu ke arah Israel untuk kali kedua dalam tempoh dua hari.
Tentera Israel melaporkan bahawa mereka berjaya memintas peluru berpandu yang datang dari Yaman sebelum ia memasuki ruang udara negara itu.
Pada Sabtu, CENTCOM turut menyiarkan rakaman dari kapal induk USS Harry S. Truman dan USS Carl Vinson yang menunjukkan serangan terhadap Huthi.-AFP.