fb fb fb fb fb

Qatar, Mesir dan AS seru Israel, Hamas muktamad cadangan gencatan senjata

Kanak-kanak perempuan warga Palestin menerima rawatan di sebuah hospital di Rafah selepas cedera dalam serangan Israel pada 26 Mei lalu/AFP

DOHA, 2 Jun- Pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) menyeru Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata berkekalan.

"Sebagai pengantara dalam perbincangan berterusan untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tawanan serta tahanan, Qatar, Amerika Syarikat dan Mesir bersama-sama menyeru Hamas dan Israel untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh Presiden (Joe) Biden," menurut Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan bersama semalam, memetik ucapan Biden pada Jumaat malam mengenai cadangan perjanjian itu.

Ketiga-tiga negara pengantara itu telah terlibat dalam rundingan berkenaan selama berbulan-bulan, namun semakin menemui jalan buntu apabila Israel menghantar tentera darat ke Rafah pada bulan lalu.

Bagaimanapun, Biden pada Jumaat berkata, bahawa Israel telah mengemukakan kepada Hamas, satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan.

Beliau merayu kepada Hamas untuk menerima perjanjian itu dan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk 'menahan diri' daripada tekanan ahli gabungan pemerintahannya yang menentang rancangan tersebut.

"Prinsip-prinsip ini menggabungkan tuntutan semua pihak dalam satu perjanjian yang memenuhi pelbagai kepentingan dan akan membawa kelegaan segera kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita serta tawanan dan keluarga mereka.

"Perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis," tambah kenyataan itu.

Hamas berkata, ia akan bertindak balas secara positif terhadap sebarang cadangan yang merangkumi gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya dari Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan penduduk kehilangan tempat tinggal dan penyelesaian perjanjian pertukaran tawanan yang komprehensif.

Lebih 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak Israel memulakan serangannya pada 7 Oktober tahun lepas.

Kebanyakan penduduk yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak dengan lebih 82,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA