fb fb fb fb fb

Pyongyang lancar peluru berpandu ketiga sejak Ahad

SEOUL, 16 Mac- Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak jauh beberapa jam sebelum pemimpin Korea Selatan dan Jepun dijadual mengadakan pertemuan di Tokyo.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan memaklumkan, pelancaran tersebut merupakan yang ketiga sejak Ahad lalu ketika Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan latihan ketenteraan bersama terbesar dalam tempoh lima tahun.

“Tentera kami mengesan satu peluru berpandu balistik jarak jauh yang dilepaskan dari sekitar kawasan Sunan di Pyongyang. Ia adalah peluru berpandu kelas ICBM.

Peluru berpandu itu ditembak pada trajektori yang tinggi ke atas dan bukannya keluar serta terbang pada jarak kira-kira 1,000 kilometer," katanya.

(Foto fail)

Sementara itu Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menuju ke Tokyo bagi menghadiri sidang kemuncak untuk meningkatkan hubungan dalam menghadapi pencerobohan Pyongyang yang semakin meningkat.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Yoon menggesa kerjasama tiga hala diperkukuh dengan Jepun dan Amerika Syarikat.

Tegasnya menerusi kenyataan, Korea Utara akan membayar harga yang jelas untuk provokasi melulu seperti itu.

Dalam pada itu, Pejabat Kabinet Jepun memaklumkan, peluru berpandu tersebut mencapai ketinggian maksimum lebih daripada 6,000 km.

Perdana Menteri, Fumio Kishida memberitahu pemberita bahawa dia akan bertemu menteri daripada Majlis Keselamatan Negara.

"Keamanan dan kestabilan di rantau ini adalah isu yang sangat penting," katanya.-AFP

Media Baharu