fb fb fb fb fb

11 maut, 10 hilang dalam letupan lombong arang batu di Colombia

(Pandangan dari udara menunjukkan proses menyelamat mangsa terperangkap sedang dilakukan/ AFP)

BOGOTA, 16 Mac- Sekurang-kurang 11 mangsa terkorban dan 10 lagi dilaporkan hilang akibat letupan kuat menggegarkan lima lombong arang batu yang bersambung melalui terowong serta sistem pengudaraan di sebuah kawasan pedalaman di tengah Colombia

Sembilan pelombong lain yang berjaya keluar menyelamatkan diri selepas letupan itu, dibawa untuk menjalani pemeriksaan perubatan dengan tiga daripada mereka masih menerima rawatan, menurut pegawai, semalam.

Presiden Colombia, Gustavo Petro dalam hantaran melalui Twitter berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.

Setakat ini, beliau berkata, 11 pelombong disahkan maut, manakala Menteri Tenaga dan Lombong, Irene Vélez pula memaklumkan 10 mangsa dilaporkan hilang.

Pengarah Unit Kebangsaan bagi Pengurusan Risiko Bencana, Javier Pava, berkata anggota SARS telah menemukan enam mayat, selain nampak lima lagi.

Kejadian lewat malam kelmarin itu yang dikaitkan dengan pengumpulan gas metana, berlaku di Sutatausa, Cundinamarca.


(Letupan di lombong arang batu di tengah Colombia telah membunuh ramai orang/ AFP)

Gabenor Cundinamarca, Nicolas Garcia memberitahu Radio Blu, lebih 100 anggota terbabit dalam operasi SAR 10 pelombong yang terperangkap kira-kira 900 meter di bawah tanah akibat letupan itu.

"Setiap minit yang berlalu bermakna oksigen semakin berkurangan (untuk mangsa yang terperangkap)," katanya sambil menjelaskan operasi terbabit adalah 'sukar'.

Beliau berkata, letupan berlaku apabila gas yang terkumpul dalam lombong itu dipercayai menyala daripada percikan api dihasilkan peralatan pekerja.

Ketua jabatan bomba dan penyelamat Cundinamarca, Álvaro Farfán, memberitahu media bahawa insiden itu menjejaskan lima lombong bersambung melalui terowong, sekali gus menghasilkan 'rantaian' letupan dengan kesan meluas.

Colombia mencatatkan lebih 1,260 kemalangan lombong dari 2011 hingga Mei tahun lalu, dengan purata 103 kematian setahun, menurut data rasmi.

Sekurang-kurang 130,000 pekerja sah direkodkan di lombong negara ini. Colombia adalah pengeluar arang batu yang utama bagi pasaran global.

Namun, kesatuan sekerja secara konsisten mengecam keadaan kerja yang buruk dengan kekurangan peralatan perlindungan dan waktu bekerja yang panjang.- AFP

Media Baharu