PORT SUDAN, 12 November -Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher, mengadakan perbincangan yang disifatkannya sebagai 'penyelesaian' dengan Ketua Tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, pada Selasa bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke seluruh pelosok negara yang dilanda perang itu.
Sejak April 2023, pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) telah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa jutaan penduduk berpindah, menjadikan konflik itu antara krisis kemanusiaan terbesar di dunia.
"Saya amat menghargai perbincangan yang konstruktif bersama Presiden Burhan petang ini, yang bertujuan memastikan kami dapat terus beroperasi di seluruh Sudan secara neutral, bebas dan tidak berpihak, demi membantu mereka yang amat memerlukan," kata Fletcher dalam satu rakaman video.
Kenyataan itu dibuat selepas Fletcher bertemu Burhan di Port Sudan, yang kini menjadi ibu kota sementara negara tersebut.
Menurut majlis itu, Burhan menegaskan komitmen Sudan untuk bekerjasama dengan PBB serta agensi-agensi di bawahnya.
Fletcher, yang tiba di Sudan pada Selasa bagi misi seminggu, berkata menerusi platform X bahawa beliau akan berusaha "menghentikan kekejaman, menyokong usaha perdamaian, menegakkan Piagam PBB serta mendesak agar pasukan kemanusiaan mendapat akses dan dana mencukupi bagi menyelamatkan nyawa di seluruh zon pertempuran."
Perbincangan itu diadakan dua minggu selepas RSF menawan bandar El-Fasher, kubu terakhir tentera Sudan di wilayah barat Darfur.
Pada Selasa, Fletcher turut mengadakan pertemuan dengan diplomat tertinggi Mesir dan Sudan di Port Sudan, menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, menyeru agar “"tindak balas antarabangsa terhadap krisis semasa diperkukuh dan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada kumpulan yang paling terjejas." - AFP