fb fb fb fb fb

Pameran seni kontemporari “Forever is Now” warnai Piramid Giza

Foto AFP

KAHERAH, 11 November -Hasil seni daripada beberapa artis antarabangsa terkenal, termasuk Michelangelo Pistoletto dari Itali dan Alexandre Farto dari Portugal, kini dipamerkan di kawasan berpasir berhampiran piramid agung Giza di Mesir.

Pameran seni kontemporari edisi kelima bertajuk “Forever is Now” itu berlangsung hingga 6 Disember depan, menampilkan pelbagai susunan karya seni yang menggabungkan warisan purba Mesir dengan seni moden.

Seniman berusia 92 tahun, Michelangelo Pistoletto,mempersembahkan karya terkenalnya “Il Terzo Paradiso” terdiri daripada obelisk cermin setinggi tiga meter dan susunan blok yang membentuk simbol matematik bagi infiniti di atas pasir.

"Kami telah mengadakan lebih 2,000 acara di seluruh dunia, merangkumi lima benua dan 60 negara. Dianggarkan mesej Third Paradise telah mencapai sekitar lima juta orang,"kata penyelaras pembinaan dalam pasukan Pistoletto, Francesco Saverio Teruzzi.

Seniman Franco-Beninese, King Houndekpinkou, pula mempersembahkan karya berjudul “White Totem of Light”, iaitu tiang yang disusun daripada serpihan seramik yang diperoleh dari sebuah kilang di Kaherah.

“Ini peluang luar biasa untuk berdialog dengan sejarah yang berusia lebih 4,500 tahun,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, artis Jongkyu Park dari Korea Selatan menggunakan ukuran Piramid Agung Giza sebagai asas dalam menghasilkan struktur geometri instalasinya yang dinamakan “Code of the Eternal”.

Pameran “Forever is Now” menjadi simbol pertembungan antara masa lalu dan masa kini, menyatukan seni kontemporari global dengan keagungan tamadun purba Mesir. - AFP

TETITIA YUSOFF