fb fb fb fb fb

11 terbunuh, ribuan cedera ketika pesta api Iran

(FOTO AFP)

TEHRAN, 16 Mac - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan lebih 3,500 mangsa cedera ketika sambutan pesta api tradisional di Iran menjelang Tahun Baharu Persia, lapor media tempatan.

Pesta api dikenali sebagai Chaharshanbe Suri dalam bahasa Farsi itu disambut setiap tahun pada malam Selasa terakhir kalendar Iran yang berakhir pada 20 Mac.

(FOTO AFP)

"Sejak 20 Februari, 26 orang maut akibat kemalangan dikaitkan kepada pesta Chaharchanbe Suri, termasuk 11 pada hari pesta berlangsung selain lebih 3,550 mangsa cedera," kata ketua perkhidmatan kecemasan, Jafar Miadfar kepada stesen penyiar rasmi.

Ketika pesta, peserta melompat merentasi unggun api bagi menyucikan diri dan menghalau roh jahat sambil berzikir 'saya beri anda warna kuning saya' yang menandakan penyakit, diikuti 'saya mengambil warna merah anda', menandakan simbol kehidupan.

Pesta itu adalah sebahagian daripada warisan pra-Islam negara itu, yang tidak disenangi golongan ulama Syiah yang memerintah.

Namun, ia kekal popular dalam kalangan golongan muda, dengan sebahagian besar daripada mereka membuat mercun sendiri khusus untuk pesta berkenaan dan kerap cedera atau terbunuh ketika berlatih. -AFP

Media Baharu