fb fb fb fb fb

Myanmar, Bangladesh mula projek rintis hantar pulang Rohingya

(FOTO AFP)

DHAKA, 16 Mac - Satu delegasi Myanmar mengesahkan beberapa ratus pelarian Rohingya di kem Bangladesh akan pulang di bawah projek perintis penghantaran pulang walaupun tidak dijelaskan bila mereka akan pulang.

Pesuruhjaya Bantuan dan Pemindahan Pelarian Bangladesh di Cox's Bazar, Mohammed Mizanur Rahman berkata terdapat 1,140 Rohingya yang akan dihantar pulang melalui projek perintis di mana 711 daripadanya sudah diselesaikan kesnya.

"Baki 429 lagi dalam senarai menunggu, termasuk beberapa bayi baru lahir yang masih diproses.

"Kami bersedia untuk menghantar mereka pulang tetapi tidak tahu bila ia boleh bermula," katanya.

(FOTO AFP)

Hampir sejuta pelarian Islam Rohingya tinggal di kem di daerah sempadan Cox's Bazar di Bangladesh kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras diketuai tentera di Myanmar pada 2017.

Duta China ke Bangladesh, Yao Wen berharap kumpulan pertama pelarian Rohingya akan dihantar pulang ke Myanmar tidak lama lagi sementara China meneruskan peranannya sebagai orang tengah, lapor agensi berita rasmi Bangladesh, Sangbad Sangstha.

Sehingga kini, junta tentera Myanmar yang mengambil alih dalam rampasan kuasa dua tahun lalu menunjukkan sedikit kecenderungan untuk mengambil balik mana-mana etnik Rohingya.

Kem berkenaan dilaporkan dalam keadaan sesak dengan puluhan ribu pondok yang diperbuat daripada buluh dan kepingan plastik nipis.

Dua tahun lalu, kebakaran besar mengorbankan sekurang-kurangnya 15 pelarian dan memusnahkan lebih 10,000 rumah, dan awal bulan ini kebakaran lain menyebabkan 12,000 orang kehilangan tempat berteduh.

Selain daripada masalah berpanjangan seperti kekurangan pekerjaan dan peluang pendidikan, kem itu juga mengalami peningkatan jenayah.

Terdesak untuk mencari tempat yang lebih baik, ramai Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka melakukan pelayaran laut berbahaya dari Bangladesh ke negara seperti Malaysia dan Indonesia.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sekurang-kurangnya 348 Rohingya dianggap mati di laut tahun lalu.-REUTERS

Media Baharu