fb fb fb fb fb

Operasi tahan Imran Khan ditangguhkan sehingga esok

(Foto REUTERS)

LAHORE, 16 Mac- Mahkamah Tinggi mengarahkan polis menangguhkan operasi menahan, Imran Khan sehingga, esok

Ini bagi meredakan lonjakan keganasan yang menyaksikan penyokong bekas perdana menteri itu bertempur dengan pasukan keselamatan.

Perkembangan itu dimaklumkan pembantunya, Fawad Chaudhry dan disahkan Menteri Penerangan, Amir Mir.

Operasi menahan Imran dilancarkan selepas mahkamah rendah di Islamabad mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah berkaitan kes rasuah.

Pada hari Selasa dan Rabu, berpuluh-puluh penyokong Khan, bersenjatakan belantan untuk menghalang pasukan keselamatan daripada menangkapnya kerana gagal hadir di mahkamah berhubung kes tersebut.


(Penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, membawa kayu.
Mereka berjalan menuju ke rumah Khan, di Lahore/REUTERS)

Operasi menahan yang bermula pada Selasa, mencetuskan pertempuran antara penyokongnya dan pasukan keselamatan di kawasan kejiranannya di Lahore, menimbulkan kebimbangan tentang kestabilan politik Pakistan ketika negara itu menghadapi krisis ekonomi.

Penunjuk perasaan membakar kenderaan polis, trak meriam air dan berpuluh-puluh kereta dan motosikal serta melontar bom petrol ke arah pasukan keselamatan yang melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

Bagaimanapun, keadaan tersebut reda selepas mahkamah tinggi menghentikan operasi pada hari Rabu.

Mahkamah rendah di Islamabad mengeluarkan waran terhadap bekas pemain kriket antarabangsa itu kerana mengingkari perintah untuk hadir ke mahkamah atas pertuduhan bahawa dia secara tidak sah menjual hadiah negara yang diberikan kepadanya oleh orang kenamaan asing ketika menjadi perdana menteri dari 2018 hingga 2022. Khan menafikan tuduhan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan telah mendapati dia bersalah dan menghalang Khan daripada memegang jawatan awam untuk satu penggal parlimen.

Prosiding undang-undang terhadap Khan bermula selepas beliau disingkirkan daripada jawatan dalam undi parlimen awal tahun lalu.

Sejak itu, beliau telah menuntut pilihan raya mengejut dan mengadakan perhimpunan bantahan di seluruh negara. Beliau juga ditembak serta cedera dalam satu perhimpunan.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif telah menolak tuntutan Khan, mengatakan bahawa pilihan raya akan diadakan seperti yang dijadualkan pada akhir tahun ini.-REUTERS

Media Baharu