MOSCOW, 21 Disember - Presiden Rusia, Vladimir Putin bersedia untuk berbincang dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron mengenai perang di Ukraine.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap Putin, Dmitry Peskov dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Ahad.
"Presiden Putin telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan dialog dengan Macron. Perkara ini boleh dinilai secara positif hanya jika terdapat kehendak politik yang sama," kata Peskov kepada agensi berita Rusia, RIA Novosti.
Macron sebelum ini dipetik sebagai berkata, beliau percaya bahawa Eropah perlu kembali berhubung dengan Putin bagi menamatkan perang antara Rusia dengan Ukraine.
"Saya percaya bahawa penting untuk kita sebagai rakyat Eropah dan Ukraine untuk mencari rangka kerja yang bersesuaian bagi menghidupkan semula perbincangan ini dalam tempoh beberapa minggu akan datang," kata presiden Perancis itu.
Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat bersetuju untuk memberikan Ukraine pinjaman sebanyak 90 bilion euro (AS$105 bilion) bagi menampung kekurangan bajet, ketika konflik tersebut menghampiri tahun keempat.
Namun, mereka gagal mencapai persetujuan untuk menggunakan aset Rusia yang dibekukan bagi mendapatkan dana tersebut. -AFP